Thursday, March 12, 2009

Yusof Estes dan Micheal Jackson: Bukti Hidayah Adalah Urusan Allah


Yusuf Estes
Peluang mendengar ceramah daripada pendakwah Yusof Estes secara langsung, tidak mahu saya lepaskan. Oleh itu, kunjungan beliau ke Malaysia dan mengadakan beberapa siri ceramah umum adalah suatu yang amat baik. Semalam, saya bersama beberapa orang teman sempat hadir ke salah satu siri ceramahnya yang diadakan di Dewan Utama, Masjid Wilayah, Jalan Duta. Jumlah mereka yang datang mendengar, boleh dibanggakan. Ceramah ini bukan sahaja menarik minat umat Islam, bahkan mereka yang masih belum menerima Islam.
Mungkin ada yang tertanya-tanya siapa Yusof Estes? Saya paparkan serba sedikit tentang latar belakang diri beliau.
Beliau adalah bekas paderi dan pendakwah Kristian dan merupakan salah seorang ahli perniagaan di Amerika Syarikat.
Dilahirkan dalam keluarga yang berpegang teguh pada ajaran Kristian di bahagian barat tengah Amerika Syarikat. Keluarga dan nenek moyang beliau bukan sahaja membina gereja dan sekolah di wilayah ini, malah mereka juga adalah kumpulan pertama yang sampai dan meneroka wilayah itu. Pada tahun 1949, semasa masih di sekolah rendah, keluarga beliau berpindah ke Houston, Texas. Ketika berumur 12 tahun, beliau telah dibabtiskan di sebuah gereja di Pasadena, Texas.
Sejak kecil, iaitu dalam tahun 50-an, beliau mula bekerja dalam industri muzik dan hiburan. Beliau bersama bapanya mengusahakan perniagaan kedai muzik serta program-program di televisyen dan radio. Beliau juga adalah seorang paderi dan sering menggunakan kuda kecil bagi menghiburkan kanak-kanak dengan menggunakan nama gelaran “Skippy the Clown”.
Beliau sangat meminati bidang muzik, terutamanya muzik klasik dan lagu-lagu agama atu gospel. Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan muzik. Selepas tamat pengajian, beliau menjadi paderi muzik di banyak gereja. Selama 30 tahun, beliau bersama bapanya mengusahakan banyak perniagaan di sekitar Texas, Oklahoma dan Florida.
Pada awal tahun 1991, bapanya ingin memulakan perniagaan dengan seorang pedagang dari Mesir. Bapanya berkata yang orang itu dari Mesir dan dia adalah orang Islam. Sewaktu mula mendengar perkataan ‘Islam’, beliau berfikir ‘orang Islam adalah kafir, penculik, pengebom, terroris dan orang yang tidak beriman’. Beliau memberitahu bapanya tentang apa yang beliau dengar selama ini tentang Islam dan orang Islam. Antaranya ialah orang Islam tidak percaya adanya tuhan, orang Islam menyembah sebuah kotak hitam di padang pasir, orang Islam mencium tanah lima kali sehari.
Jadi, beliau tidak mahu berjumpa dengan orang Mesir itu. Tetapi, selepas dipujuk oleh bapanya, beliau pun setuju untuk berjumpa. Beliau merancang untuk mengubah orang Mesir itu menjadi penganut Kristian. Jadi, beliau bersetuju untuk berjumpa dengan beberapa syarat. Antaranya beliau hanya akan berjumpa pada hari Ahad, selepas sembahyang di gereja. Beliau membawa sebuah kitab Bible, memakai salib yang besar dan memakai topi yang tertulis “Jesus is Lord”.

Pada hari yang ditetapkan, di sebuah kedai, beliau bersama bapanya bertemu dengan lelaki Mesir itu. Apabila masuk saja ke kedai, beliau bertanya bapanya, “Mana dia?” Bapanya menunjukkan ke arah seorang lelaki, “Itu dia di sana”. Beliau menjadi keliru dan berfikir “tidak mungkin orang itu adalah orang Islam”. Beliau tercari-cari orang yang berbadan besar, memakai jubah panjang, berserban besar di atas kepala, berjanggut panjang, kening yang tebal bersambung serta mempunyai sebilah pedang atau sebutir bom dalam bajunya.
Tapi, apa yang dilihatnya, orang Mesir itu tidak mempunyai janggut langsung, bahkan rambutnya hampir-hampir botak. Beliau disambut oleh orang Mesir itu dengan penuh mesra. Lalu terdetik dalam hatinya “Ini tidak masuk akal! Apakah makna semua ini?”. Sebelum ini, beliau menyangka yang orang Islam adalah pengganas dan pengebom.Walau apa pun, beliau tetap berhasrat untuk mengkristiankan lelaki tersebut.
Selepas saling berkenalan, beliau terus bertanya lelaki Mesir itu, “Adakah anda percaya kepada tuhan?”
Jawab lelaki Mesir: “Ya”.
Beliau bertanya lagi: “Adakah anda percaya kepada Adam dan Hawa?”
Jawab lelaki Mesir: “Ya”.
“Bagaimana dengan Nabi Ibrahim? Adakah anda percaya kepadanya dan percayakah yang dia mahu mengorbankan anaknya?”, tanya beliau.
“Ya”, jawab lelaki Mesir itu.
Beliau terus bertanya: “Anda percaya kepada Musa dan ajarannya? Anda percaya Laut Merah itu terbelah dua?”
Jawab lelaki Mesir: “Ya”.
Kemudian beliau bertanya lagi: “Anda percaya kepada nabi-nabi lain, Daud, Sulaiman dan Yahya?”
Lelaki Mesir itu tetap menjawab “Ya”.
Seterusnya, sampailah masa untuk beliau bertanya soalan yang paling penting “Percayakah anda, Nabi Isa adalah utusan Tuhan?”
Jawab lelaki Mesir itu, “Ya”.
Estes mula berfikir, “Nampaknya kerja saya mudah kerana dia percaya kepada semua perkara yang dipercayai oleh orang Kristian. Dia hanya menunggu masa untuk dibabtiskan”.
Pada musim bunga 1991, Estes terkejut apabila mengetahui orang-orang Islam percaya pada kitab Injil. Bukan itu sahaja, beliau juga turut tahu yang orang Islam percaya bahawa Nabi Isa adalah utusan Tuhan yang benar, seorang nabi, dilahirkan tanpa adanya bapa dan akan muncul sebelum hari kiamat dan memimpin orang beriman memerangi orang kafir.
Oleh kerana orang Islam mempercayai fakta-fakta tersebut, Estes berfikir yang beliau mampu mengkristiankan Mohammad, lelaki Mesir itu. Selepas pertemuan pertama dulu, Estes dan bapanya bersetuju untuk menjalan perniagaan dengan Mohammad. Sejak dari itulah, Estes sering mengajak Mohammad untuk berbual-bual dan berbincang tentang agama Kristian. Tetapi, beliau tidak pasti adakah hasratnya akan tercapai?
Suatu hari, Estes mendapat tahu yang Mohammad akan berpindah dari rumah yang dia tinggal sekarang dan mahu tinggal di masjid buat sementara waktu. Setelah berbincang dengan bapanya, beliau mengajak Mohammad untuk tinggal sahaja di rumahnya.
Ditakdirkan seorang kawan Estes yang juga seorang paderi telah mendapat serangan jantujg dan terpaksa tinggal di hospital. Estes mengajak Mohamad untuk menziarahinya dengan harapan dapat berbincang tentang agama dan kepercayaan. Tetapi, sahabat beliau itu kurang berminat dan tidak mahu mengambil tahu langsung tentang Islam.
Kebetulan, turut berkongsi bilik dengan kawan Estes itu adalah seorang pesakit yang berkerusi roda. Estes melihat dia begitu murung dan seoalah-olah memerlukan sesautu untuk ketenangan. Lalu, Estes pun menasihatinya tantang Tuhan dan membacakan kitab Bible kepadanya. Akhirnya, lelaki berkerusi roda itu mengaku yang dia adalah seorang paderi Katolik. Estes terperanjat. Rupanya dia memberi nasihat kepada seorang paderi juga. Namanya ialah Peter Jacob. Selama 12 tahun, Peter menjadi mubaligh di Amerika Selatan, Amerika Tengah, Mexico dan New York.
Selepas Peter dibenarkan keluar dari hospital, Estes mengajaknya untuk turut berehat dan tinggal bersama beliau dan Mohammad. Bapa Estes dan Peter bersetuju. Semasa Peter tinggal bersama Estes, mereka selalu berbincang tentang hal-hal agama. Bapa Estes membawa kitab Bible versi King James, Estes sendiri membawa Bible versi standard dan isteri Estes pula membawa versi yang berlainan seperti Jimmy Swaggart yang berjudul Good News for Modern Man. Mereka berbincang kitab manan yang betul dan cuba meyakinkan Mohammad untuk memeluk agama Kristian.
Tetapi apabila Estes bertanya kepada Mohammad tentang al-Quran, beliau agak hairan apabila diberitahu yang al-Quran hanya ada satu versi sahaja. Ia tidak pernah diubah dari sejak ia wujud 1400 tahun yang lalu. Beratus-ratus ribu umat Islam di serata pelusuk dunia yang menghafal al-Quran dari kulit ke kulit. Estes merasakan ini suatu perkara yang mustahil.
Suatu hari, Peter ingin mengikut Mohammad ke masjid untuk melihat sendiri keadaan di sana. Selang beberapa hari, Peter ingin mengikut sekali lagi Mohammad ke masjid. Kali ini lebih lama. Estes berasa bimbang. Lewat malam barulah mereka pulang ke rumah. Sejurus Mohammad sampai ke rumah, Estes terkejut melihat Mohammad pulang dengan seorang lelaki berjubah putih dan berkopiah. Pada mulanya Estes tidak mengenali lelaki itu. Akhirnya, dia kenal rupa-rupanya lelaki itu adalah Peter. Estes bertanya: “Peter, adakah kamu sudah memeluk Islam?” Peter menjawab “Ya”.
Estes sangat terkejut dan terus naik ke tingkat atas memikirkan perkara ini. Beliau berbincang dengan isterinya. Tidak dijangka, isteri beliau juga menyatakan hasrat yang sama, ingin memeluk agama Islam. Estes bertambah terkejut dan semakin bingung. Lantas, beliau turun semula ke bilik Mohammad dan mengajaknya berbincang tentang Islam sepanjang malam tersebut.
Apabila tiba waktu Subuh dan sampai masanya bagi umat Islam sembahyang Subuh, Estes sedar yang kebenaran sudah sampai. Sekarang, terpulanglah kepada beliau untuk menentukan pilihan. Beliau pergi ke belakang rumah dan mengambil sekeping papan lapis. Kemudian, beliau meletakkannya di atas tanah dan sujud ke arah kiblat di atas papan tersebut. Dalam kedudukan itu, beliau menyeru “Ya Tuhan, kalau Engkau berada di sana, bimbinglah aku, bimbinglah aku”.
Apabila beliau mengangkat kepala, beliau tidak menyedari sesuatu yang pelik pun. Tidak mendengar suara kicauan burung, tidak mendengar malaikat turun dari langit, tidak mendengar muzik, suara atau pun cahaya. Apa yang beliau sedar ialah beliau mesti berhenti menipu dan melakukan perkara yang salah. Beliau mesti jujur dan tahu apa yang perlu dilakukan.
Kemudian, Estes masuk ke dalam rumah dan terus mandi. Beliau menganggap mandi itu sebagai pencuci semua dosanya. Beliau berazam untuk suatu kehidupan yang baru. Lebih kurang pukul 11.00 pagi hari itu, beliau berdiri di hadapan dua orang saksi, Mohammad dan Peter, lalu mengucapkan syahadah.
Beberapa minit kemudian, isterinya pula mengucapkan shahadah yang sama di depan tiga orang saksi. Bapanya pula menunggu beberapa bulan sebelum mengikuti jejak langkahnya menjadi seorang Muslim. Ibu tirinya juga turut mengakui kebenaran Islam di akhir hayatnya.
Lahirlah seorang Yusof Estes. Beliau mengajak kita semua berfikir. Bagaimana seisi rumah yang berasal dari pelbagai etnik dan latar belakang bersatu bagi mencari kebenaran dan memuja Pencipta alam semesta. Fikirkanlah bagaimana seorang paderi Katolik, seorang paderi muzik dan pendakwah Kristian telah menerima kebenaran Islam. Katanya “Hanya dengan berkat dan petunjuk Allah swt kami mampu melihat kebenaran Islam. Allah swt membuka tabir yang menutup mata, telinga dan hati kami. Allah yang membimbing kami ke jalan yang benar”…

Justeru, kenapa perlu berasa hairan? Jika itulah kehendak Allah, seorang yang bernama Michael Jackson juga menemui kebenaran yang sama. Tugas kita adalah terus teguh menyampaikan kebenaran Islam ini. Serahkanlah urusan hidayah kepada pemiliknya,Yang Maha Berkuasa dan Mengetahui segala-galanya.
(Cerita ini diambil daripada catatan yang ditulis sendiri oleh Yusof Estes. Rujukan: Kisah-kisah Paderi Memeluk Islam, terbitan Islamic Propagation Society International (IPSI)


shbt yang dikasihi marilah kita berdoa semoga Allah sentiasa memberi hidayahnya kpd kita..kerana kita haruslah ingat bahawa Allah berhak membolak balikkan hati hamba2nya yang dia kehendaki.
renung-renungkan lah.....
sekian wassalam...

No comments: